KYIV – Seorang Ahli Parlimen kanan Ukraine menyatakan bahawa Amerika Syarikat (AS) telah menghentikan penjualan senjata ke negara itu, lapor portal berita RT kelmarin.
Roman Kostenko yang berkhidmat sebagai Setiausaha Jawatankuasa Pertahanan Parlimen negara itu berkata, penggantungan penjualan tersebut berlaku selepas rundingan damai diadakan antara AS dengan Russia di Arab Saudi minggu ini.
“Menurut maklumat saya terima, penjualan senjata telah terhenti. Syarikat-syarikat yang bersedia untuk menghantar senjata kini sedang menunggu kerana tiada keputusan dari Washington (berhubung kebenaran penjualan senjata),” katanya.
Beliau mendakwa bahawa penggantungan itu dikaitkan dengan hubungan baik antara Washington dengan Moscow yang mengadakan rundingan langsung pertama mereka di peringkat kanan dalam tempoh tiga tahun, Selasa lalu.
Menurut Kostenko, fakta bahawa Ukraine tidak dijemput menghadiri rundingan itu telah menyebabkan ketidakpastian dalam kalangan pengeluar senjata AS mengenai penghantarannya ke Kyiv.
Beliau berkata, Ukraine sedang cuba menyelesaikan isu tersebut dan telah menawarkan untuk membuat pembayaran secara terus kepada syarikat dari AS. Kyiv enggan menganggapnya sebagai sebahagian daripada bantuan Washington .
Kenyataan itu kemudian disahkan oleh seorang lagi Ahli Parlimen, Aleksey Goncharenko menerusi aplikasi Telegram.
“AS telah membekukan penjualan senjata ke Ukraine. Kenyataan Roman Kostenko adalah benar.
“Syarikat-syarikat Amerika mengesahkan perkara ini kepada saya,” tulis Goncharenko.
Bagaimanapun setakat ini, Washington dan pembuat senjata AS tidak mengulas mengenai pemberhentian penghantaran senjata itu.
Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah perbalahan yang semakin meningkat antara Presiden AS, Donald Trump dengan rakan sejawatnya dari Ukraine, Volodymyr Zelensky.
Dalam catatan di platform Truth Social pada Rabu lalu, Trump menuduh Zelensky salah urus konflik dengan Russia dan menyalahgunakan bantuan kewangan Amerika.
Trump sebelum ini mengancam untuk memotong bantuan kepada Ukraine dan menegaskan bahawa Kyiv perlu membayar balik kepada Washington bagi pembiayaan yang telah diterimanya.
Beliau menuntut sebanyak AS$500 bilion (RM2.2 trilion) melalui nilai nadir bumi dari Ukraine sebagai balasan kepada bantuan yang telah disalurkan kepada negara itu.
Washington telah menjadi sumber terbesar bantuan ketenteraan ke Ukraine sejak konflik dengan Russia meningkat pada awal 2022, termasuk melalui penghantaran senjata dan peralatan serta sokongan kewangan.
Sebahagian daripada bantuan kewangan digunakan untuk membayar kepada syarikat pembuat senjata AS bagi mendapatkan bekalan baharu untuk tentera Ukraine atau menggantikan senjata lama.
Jabatan Negara AS berkata pada 20 Januari lalu bahawa sejak pencerobohan Russia, AS telah menyalurkan bantuan ketenteraan kepada Ukraine sebanyak AS$65.9 bilion (RM291 bilion), lapor agensi berita AFP.
Badan penyelidikan ekonomi Jerman, Institut Kiel pula berkata, dari 2022 hingga akhir 2024, AS telah memberikan bantuan berjumlah AS$119.8 bilion (RM530 bilion) dalam bentuk bantuan kewangan, kemanusiaan dan ketenteraan. – AFP/AGENSI