NILAI – Jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri menambah koleksi pingat buat skuad kebangsaan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 selepas masing-masing memenangi pingat gangsa acara pecut.
Pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di Velodrom Nasional, Nilai Negeri Sembilan sebentar tadi, Shah Firdaus mengetepikan cabaran rakan sepasukan yang juga adiknya, Muhammad Ridwan Sahrom.
Lebih manis, pingat diraih Shah Firdaus dan Nurul Izzah memastikan Malaysia melepasi sasaran tiga pingat tanpa warna yang diletakkan ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Mohd. Harnizam Basri sebelum ini.
Shah Firdaus berkata, dia gembira dengan aksi ditampilkan dalam acara pecut hari ini meskipun masih dibelenggu kecederaan pada lutut kanan yang dialami ketika menjalani latihan dua minggu lalu.
“Sebenarnya saya tidak mahu menjadikan kecederaan lutut sebagai penghalang untuk saya menampilkan aksi terbaik. Memang kena terima keputusan ini kerana sudah menjalani latihan cukup baik dalam tempoh dua minggu untuk ACC.
“Pasukan meramalkan saya untuk masuk ke suku akhir sahaja tetapi tidak tahu bagaimana dapat mara ke final (penentuan gangsa). Pujian juga harus diberikan kepada adik saya (Ridwan) kerana sudah melakukan yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan.
Gangsa yang diraih pastinya menjadi pembakar semangat buat Shah Firdaus memandangkan dia sekali lagi akan turun menggalas cabaran negara dalam acara keirin lelaki Selasa nanti.

Sementara itu, Nurul Izzah pula meraih pingat kedua peribadi menerusi gangsa yang dimenangi selepas mengetepikan cabaran Bao Shanju dari China pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Meskipun tewas pada perlumbaan pertama, namun atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu bangkit memenangi perlumbaan kedua sebelum mengesahkan kemenangan pada aksi penentuan.
Jumaat lalu, Nurul Izzah membantu pasukan negara meraih pingat perak dalam acara pecut berpasukan wanita yang turut dibarisi Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Mohd. Farid selepas tewas kepada China pada aksi final. – KOSMO! ONLINE