fbpx

ACC 2025: Sawda raih emas, pecah rekod Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAWDA mempamerkan kayuhan bertenaga bagi memenangi pingat emas 1km ujian masa remaja wanita dan memecahkan rekod Asia. - AMIR KHALID

NILAI – Atlet sedang meningkat naik, Sawda Hasbullah mencetuskan sensasi pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 apabila menyumbang pingat emas buat skuad negara dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa remaja wanita.

Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai Negeri Sembilan hari ini, pelumba berusia 17 tahun itu mengetepikan cabaran Liu Shang Ying dari Taiwan (perak) dan wakil India, Harshita Jakhar (gangsa).

Lebih manis, pelumba berusia 17 tahun itu meleburkan rekod remaja Asia menerusi catatan masa 1:10.818 saat (s), memadam catatan 1:12.722s yang dilakukan Shang Ying pada pusingan kelayakan di sebelah pagi.

“Memandangkan acara ini bermula dengan laju, jadi memang sukar untuk kekalkan momentum sehingga ke penghujung. Alhamdulillah kemenangan hari ini dapat mengubat kekecewaan tempat keempat semalam.

“Pada final hari ini, saya hanya cuba menampilkan aksi terbaik dan tidak jangka untuk mencatat kemenangan tetapi saya yakin dapat melakukannya,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan.

Semalam, atlet kelahiran Melaka itu terpaksa berputih mata apabila sekadar menamatkan aksi final acara keirin di tempat keempat.

Sebagai rekod, Sawda kini mengumpul dua pingat peribadi pada kejohanan tersebut selepas turut membantu skuad remaja wanita memenangi pingat perak dalam acara pecut berpasukan Jumaat lalu.

Pencapaian itu pastinya menjadi pembakar semangat buat Sawda bagi menambah koleksi pingat menjelang acara pecut yang dijadualkan berlangsung Selasa nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI