IPOH – Polis menerima sebanyak enam laporan daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan penganjuran pertandingan bola sepak tidak wujud di Padang Taman D.R. Seenivasagam, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, satu daripada laporan itu dibuat wanita berusia 39 tahun yang bekerja sebagai kerani di Kuala Lumpur.
Katanya, mangsa mendakwa diperdaya seorang lelaki berkaitan Karnival Pertandingan Bola Sepak 11 Sebelah U14 & U16, ASM Cup dan Big Pos Cup 2025 yang dijadualkan pada pukul 7 pagi.
“Hasil siasatan mendapati mangsa membuat dua kali pembayaran secara dalam talian sebanyak RM400 ke dalam dua akaun bank.
“Bagaimanapun, apabila mangsa tiba di lokasi penganjuran semalam, didapati tiada khemah disediakan malah usaha untuk menghubungi penganjur untuk mendapatkan pengesahan juga tidak berjaya,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, selain mangsa, pihaknya turut menerima lima laporan polis melibatkan penganjur yang sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE