BANGKOK – Seorang wanita di Sattahip, wilayah Chon Buri menjadikan seekor kerbau peliharaan jiran sebagai ‘tebusan’ bagi menuntut pampasan selepas haiwan itu merosakkan ladang pisang miliknya, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Namun, jiran tersebut enggan membayar pampasan mahupun mengambil semula kerbau itu.
Wanita berusia 59 tahun yang dikenali sebagai Nong, menghubungi polis supaya datang ke rumahnya semalam untuk membantu menyelesaikan pertikaian tersebut.
Dia juga menangis di hadapan anggota-anggota polis dan menjelaskan bahawa 15 pokok pisang di ladangnya telah rosak.
Anggota polis kemudian menasihatkan Nong supaya tidak mengulangi tindakan itu kerana menangkap dan mengurung haiwan milik orang lain boleh mengakibatkan dia dikenakan tindakan undang-undang.
Polis kemudian menghubungi jiran tersebut yang berjanji untuk membayar pampasan sebanyak 2,000 baht (RM260). – AGENSI