KUALA KANGSAR – Seorang wanita cedera selepas terkena serpihan batu bangunan kedai makan yang runtuh akibat dirempuh sebuah bas tanpa pemandu di Jalan Daeng Selili, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, kejadian yang berlaku di simpang berhampiran sebuah bank itu terjadi pada pukul 10.30 pagi.
“Bas itu sedang berhenti di bahu jalan sebelum bergerak sendiri dan melanggar sebuah kereta serta bangunan kedai makan di sebelah kanan jalan menyebabkan seorang wanita berusia 51 tahun yang sedang minum di kedai itu bengkak pada betis akibat terkena serpihan batu.
“Dalam kejadian itu, pemandu bas dan kereta serta pekerja kedai makan tidak cedera. Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 14 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 14 LN 166/59),” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, tular video berdurasi 25 saat di Facebook menunjukkan sebuah bas persiaran terbabas melanggar sebuah restoran di Kuala Kangsar menyebabkan premis tersebut turut mengalami kerosakan. – KOSMO! ONLINE