KLANG – Kaut untung sehingga lima kali ganda antara kaedah dipercayai dilakukan segelintir peniaga tempatan yang mengalibabakan tapak sewa kedai kepada warga asing di Kompleks Pasar Meru di sini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, kompleks tersebut mempunyai 721 ruang niaga dengan 600 unit telah disewakan kepada peniaga tempatan.
Katanya, kadar sewa adalah antara RM100 hingga RM600 mengikut kategori jualan di kalangan para peniaga yang telah mendapat lesen daripada MBDK.
“(Berapa harga bila dialibabakan) Biasanya bayar sewa kepada Majlis sebanyak RM100 namun kemungkinan mereka (peniaga tempatan) boleh dapat sewa RM500.
“Kalau didapati telah disewakan atau dialibabakan tanpa kelulusan MBDK, maka kita boleh bagaikan lesen dan menamatkan penyewaan kepada pemilik tapak atau peniaga berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Taha meninjau operasi bersepadu dilaksanakan di Kompleks Pasar Meru itu.
Kata Abd. Hamid, para peniaga yang menjalankan konsep ali baba tersebut juga akan disenaraihitamkan untuk menjalankan aktiviti di mana-mana premis perniagaan MBDK.
Jelasnya, arahan telah dikeluarkan kepada para pegawai untuk melakukan semakan dalam mengenalpasti tapak niaga yang telah dialibabakan susulan operasi bersepadu ini.
“Ini termasuk terhadap 100 premis di tingkat atas yang belum ada penyewanya yang mungkin disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab. Langkah semakan ini seterusnya untuk ‘membersihkan’ kompleks pasar ini daripada sebarang anasir termasuk alibaba,” katanya. – KOSMO! ONLINE