KUALA LUMPUR – Pasukan Hoki Terengganu (THT) menamatkan liga dengan penuh bergaya apabila merangkul Piala TNB selepas menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi penentuan penalti shoot-out 3-0 dalam aksi final mendebarkan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Lebih manis, kejayaan itu melengkapkan kejuaraan treble buat THT musim ini selepas menjuarai Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Piala Sumbangsih.
Final bermula penuh intensiti apabila TNB pantas membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti (PC) oleh Jang Jong Hyun dan gol awal itu memberikan kelebihan kepada TNB yang terus mengasak untuk menambah jaringan.
Namun, THT tidak mengalah dan bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-18 menerusi Muhammad Arif Syafie Ishak yang bijak menyempurnakan peluang di depan gawang TNB.
Kedua-dua pasukan terus menampilkan aksi sengit hingga tamat masa sebenar, tetapi gagal mencari gol kemenangan, memaksa penentuan penalti shoot-out.
Dalam penentuan penalti, THT mempamerkan ketenangan luar biasa dengan menyempurnakan tiga percubaan manakala penjaga gol mereka menjadi wira dengan menafikan semua cubaan TNB.
Kemenangan tersebut menjadi detik manis buat THT yang berjaya merampas kembali takhta daripada TNB selepas skuad lawan muncul juara trebel musim lalu.
Lebih bermakna, kejayaan ini turut diserikan dengan kejayaan Faizal Saari yang muncul Penjaring Terbanyak musim ini, membuktikan statusnya sebagai salah seorang penyerang terbaik negara.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga, Maybank mengesahkan kedudukan podium selepas menewaskan Kelab Hoki Matador 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung sengit.
Bagi saingan Piala Vivian May Soars, pasukan wanita PDRM Blue Warriors turut meraikan kejayaan treble pertama mereka selepas menewaskan Malaysian University menerusi penalti shoot-out 3-0. – KOSMO! ONLINE