PETALING JAYA – Keluarga kanak-kanak yang disyaki dicabul remaja lelaki ketika solat subuh di sebuah masjid di Batang Kali, meminta orang ramai memadam video temu ramah anaknya yang tular di media sosial sejak semalam.
Penyanyi rap, Caprice menerusi hantaran Instagram turut berkongsi salah seorang pemilik akaun dipercayai ahli keluarga mangsa yang menghantar mesej peribadi kepadanya berhubung video interviu tersebut.
“Video itu sebenarnya hanya untuk keluarga kami sahaja. Kami tidak tahu dalam keluarga kami siapa yang sebarkan. Video yang rakam pun keluarga. Rakam untuk keluarga memandangkan ayah mangsa tidak bawa telefon.
“Kami cuba telefon semua, tak angkat. Sebab itu seorang daripada ahli keluarga kami buat video untuk hantar dalam kumpulan keluarga. Harap ini menjelaskan semua.
“Cuma beritahu semua yang lain supaya tidak menghantar video itu lagi, tolong padam. Terima kasih Cap,” kata seorang wanita pada mesej peribadi kepada Caprice.
Dalam pada itu, Caprice pada hantarannya mengingatkan orang ramai bahawa video berkenaan boleh memberi kesan jangka panjang kepada mangsa.
“Salam ‘guys’, pihak keluarga minta tolong semua ‘page’ yang post video interviu mangsa bawah umur ni ‘delete'(padam). Boleh ada kesan kepada mangsa dalam jangka masa panjang.
“Harap anda semua boleh ‘tag’ di rumah komen ‘page’ yang masih ada posting dan minta mereka tolong ‘delete’. Terima kasih banyak-banyak dan kami akan terus berjuang dan pertahankan anak anda, insya-Allah,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang remaja lelaki ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan ketika solat subuh di sebuah masjid di Batang Kali, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan susulan video tular di media sosial kira-kira pukul 8.19 pagi.
Suspek warga tempatan berusia 19 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Berikutan itu, suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 Februari bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE