IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mempertahankan tindakannya melantik Pegawai Khas Menteri Besar (MB) di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang negeri ini.
Beliau berkata, tindakan itu penting bagi membolehkan agenda kerajaan negeri sampai di kawasan-kawasan tersebut dan bukan bertujuan untuk membunuh karakter wakil rakyat pembangkang.
“Mereka tak perlu bimbang. kita tak ambil duit dia, tak curi duit dia. Tak curi gaji dia. Bagusnya bagi orang-orang yang sedia bersaing, dia perlu kerja kuat sikitlah.
“Saya terpaksa meletakkan ini (pegawai khas MB). Saya sebut di banyak tempat dan ada juga Ahli DUN Pas tanya saya, saya kata sangat mudah, (kerana) kamu gagal,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Kad Perak Sejahtera (KPS) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ekoran dakwaan dalam media sosial tentang pelantikan Pegawai Khas MB di kawasan pembangkang, yang dilihat seolah-olah menafikan peranan wakil rakyat setelah memenangi pilihan raya.
Mengenai kriteria Pegawai Khas MB yang dikatakan orang politik, Saarani berkata, mereka yang dilantik itu mestilah seseorang yang boleh dipercayai oleh Menteri Besar.
Ditanya mengenai indvidu yang dilantik itu merupakan potensi calon pilihan raya, beliau yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, tiada jaminan mereka dilantik itu bakal menjadi calon melainkan mereka sendiri berjaya mempamerkan prestasi terbaik sebagai pemimpin disukai ramai. – KOSMO! ONLINE