PETALING JAYA – Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 akan dibentang dan dibahas pada sidang Parlimen kali ini untuk diluluskan.
Jurucakap Kerajaan Madani, Fahmi Fadzil berkata, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 merupakan langkah pertama dalam usaha mereformasi institusi dan penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama negara iaitu Parlimen.
“RUU tersebut bakal mewujudkan sebuah Majlis Parlimen yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
“RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 pula akan dibawa bagi membolehkan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat menganggotai Majlis Parlimen tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri turut memutuskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan membuat bacaan pertama dan memperincikan kedua-dua RUU berkenaan di Dewan Rakyat Isnin ini.
“Jemaah Menteri turut bersetuju dan mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat bacaan kali kedua dijangka pada 4 Mac.
“Langkah ini adalah bukti iltizam Kerajaan Madani terhadap usaha melaksanakan agenda reformasi serta memperkukuh institusi-institusi demokrasi dalam negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE