PETALING JAYA – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Nerus menyita gula-gula kenyal ‘gummy’ membabitkan nilai rampasan RM1,152 di premis jualan dan borong di Mengabang Telipot, Kuala Nerus.
PKD Kuala Nerus memaklumkan, tindakan sitaan itu susulan kematian seorang kanak-kanak lelaki akibat tercekik gula-gula kenyal ‘gummy’ di Pulau Pinang.
“Pasukan penguat kuasa Unit Keselamatan & Kualiti Makanan melakukan pemeriksaan ke atas premis jualan dan borong di Mengabang Telipot, Kuala Nerus dan menyita perbagai produk dijual di premis berkenaan.
“Langkah ini bertujuan memastikan pematuhan terhadap prosedur keselamatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” menurut hantaran Facebook PKD Kuala Nerus hari ini.
Pihak berkenaan juga akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Ibu bapa juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam memilih makanan untuk anak-anak, terutama produk yang berisiko menyebabkan kejadian tercekik.
PKD Kuala Nerus turut mengingatkan bahawa pemantauan rapi terhadap pengambilan makanan kanak-kanak adalah penting dan hendaklah dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga. – KOSMO! ONLINE