PASUKAN Selangor FC tidak akan membuka sebarang ruang buat skuad Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) melakukan kebangkitan dramatik untuk memastikan misi menjulang trofi pada aksi final kedua Piala Cabaran malam ini dapat direalisasikan.
Sebagai rekod, skuad Gergasi Merah membawa bekalan selepas diberikan kemenangan percuma 3-0 pada aksi final pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) minggu lalu.
Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menyeru barisan pemain mempamerkan mentaliti positif dengan beraksi seperti biasa dan fokus untuk menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit.
“Kita sudah ada strategi tersendiri pada perlawanan akhir nanti dan kalau pada aksi final pertama kita bermain dengan 10 orang untuk tempoh lebih 80 minit, kali ini saya harap kita kekal dengan 11 pemain.
“Kalau boleh saya juga mahu pemain fokus dengan corak permainan yang diterapkan dan elakkan daripada serangan balas pantas pasukan lawan atau memberikan sepakan penalti kepada mereka.
“Lebih penting, kita harus tamatkan perlawanan pada masa sebenar agar perlawanan tidak diheret hingga ke penentuan penalti,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium MBPJ semalam.
Pandangan sama turut diluahkan oleh penolong ketua pasukan skuad Merah Kuning, Nooa Lain yang telah diberikan lilitan kapten untuk menggantikan Safuwan Baharudin yang digantung perlawanan pada aksi final kedua nanti.
“Sudah tentu saya rasa bangga apabila diberi tanggungjawab menjadi kapten pasukan. Namun, fokus sebenar adalah prestasi di atas padang,” katanya. – KOSMO! ONLINE