fbpx

Perlumbaan F1 2025 lebih mencabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KURANG dari sebulan sebelum perlumbaan Formula Satu (F1) membuka tirai pada 16 Mac ini membuatkan ketua pasukan dan pemandu sedikit bimbang mengenai peraturan baharu bakal diperkenalkan pada musim 2025.

Perubahan besar dalam peraturan teknikal menyaksikan pasukan perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan yang mampu menghalang mereka mendapatkan prestasi terbaik.

Musim F1 2025 akan menyaksikan pelbagai perubahan besar dalam peraturan perlumbaan, bertujuan untuk meningkatkan keselamatan, prestasi dan keberkesanan teknologi.

Kebanyakan pasukan tidak mengeluarkan bajet terlalu besar memandangkan perubahan besar bakal dilakukan sewaktu 2026 yang akan meliputi perubahan teknologi enjin lestari.

Kosmo! menyenarai beberapa perubahan peraturan ketara dapat dilihat sekali gus menjadikan perlumbaan 2025 lebih menarik dan ditunggu-tunggu peminat sukan empat roda tersebut.

Mata terpantas dihapuskan

Penghapusan mata pusingan terpantas sejak diperkenalkan pada 2019 dibatalkan musim ini. Sejak diperkenalkan, pemandu menduduki tempat 10 teratas boleh memperoleh mata bonus.

Disebabkan pelbagai kontroversi, ia dihapuskan untuk musim 2025. Sistem mata yang lain tetap sama dengan 10 pemandu teratas meraih mata dalam Grand Prix termasuk lapan pemandu teratas perlumbaan sprint.

Wajib sistem penyejukan

Pasukan perlu memasang sistem penyejukan untuk menjaga keselamatan dan prestasi dalam cuaca panas apabila suhu melebihi 31 darjah Celcius semasa sprint atau Grand Prix

Had berat kereta dinaikkan untuk memberi ruang kepada pemasangan sistem penyejukan tanpa mengisi sistem dengan cecair penyejuk kerana ia tidak diperlukan dalam sesi lebih pendek.

Ia juga bertujuan mengurangkan beban pada pemandu dan memastikan mereka boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada prestasi tanpa terganggu cuaca panas yang ekstrem.

Had uji jentera lama

Peraturan Testing of Previous Cars (TPC) membolehkan jentera lama diuji, namun kini diubah dengan pemandu utama hanya terhad kepada empat hari ujian dan 1,000 kilometer (km).

Tujuannya bagi mengimbangi peluang antara pemandu utama, ujian dan simpanan berlatih serta memberi fokus kepada pembangunan pelumba baharu.

Ujian lebih lama buat rookies

Pemandu baharu atau rookies diberi kelonggaran musim ini apabila setiap pasukan diwajibkan menggunakan pelumba baharu mereka sebanyak dua kali sepanjang sesi latihan pertama.

Ini bermakna setiap pemandu rookies akan mendapat lebih banyak peluang untuk beraksi dan dapat membiasakan diri menggunakan teknologi baharu jentera F1 2025.

Sekatan DRS dan sayap belakang

Peraturan teknikal mengenai sayap belakang dan sistem pengurangan seretan (DRS) kini lebih ketat. Hanya dua posisi dibenarkan untuk DRS terbuka dan tertutup.

Ujian sayap belakang juga diperketat untuk memastikan tiada pergerakan yang berlebihan bagi membantu pemandu mendapatkan bantuan kelajuan terutama di laluan lurus.

Penyesuaian peraturan kelayakan

Sesi kelayakan 2025 dilihat lebih adil kerana jika terhalang oleh cuaca atau faktor lain, grid perlumbaan akan ditentukan berdasarkan kedudukan Kejuaraan Pemandu. Jika tidak dapat dilakukan, perintah grid akan ditentukan oleh keputusan pengarah perlumbaan.

Penggunaan teknologi hibrid

F1 membenarkan sistem kecekapan hibrid dengan bateri lebih besar dan unit tenaga yang kuat. Ini memberi kelebihan dalam pengurusan tenaga semasa perlumbaan, meningkatkan kelajuan dan kecekapan bahan api.

Perubahan saiz jentera 2025, 2026

Jentera akan menjadi lebih kecil pada musim 2026 berbanding model 2025. Ia sebagai langkah menjadikan ia lebih pantas selain panjang dan lebar juga masing-masing dikurangkan sebanyak 5.5 peratus dan 5 peratus.

Bagi musim 2025, kereta direka dengan panjang 3,600 milimeter (mm) dan lebar 2,000mm, manakala jentera 2026 dipendekkan dengan panjang 3,400mm dan lebar 1,900mm menjadikan ia lebih ringan berbanding model tahun ini.

Berat minimum kereta termasuk tayar dan pemandu akan dikurangkan sebanyak empat peratus atau 32kg daripada berat minimum 800kg kepada 768kg untuk musim 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN