fbpx

Peniaga terpaksa tanggung rugi, Pesta Angin Timur digenangi air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BANTUAN jentera pembajak diperlukan bagi menarik keluar kenderaan yang terkandas di tapak PAT 2025 di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang dekat Arau hari ini.

ARAU – Peniaga yang beroperasi di Pesta Angin Timur 2025 (PAT 2025) terpaksa menanggung kerugian apabila tapak program itu di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang, di sini, digenangi air susulan hujan lebat, semalam.

Tinjauan Kosmo! di sini mendapati kebanyakan peniaga di tapak itu kelihatan sibuk mengemaskan barangan masing-masing berikutan tidak dapat meneruskan operasi perniagaan.

Selain itu, dianggarkan lebih 20 kenderaan terdiri daripada kereta, food truck dan bas turut dikesan terkandas di dalam lumpur berikutan tanah sawah yang lembut.

Menurut seorang peniaga bihun sup, Roslan Ahmad, 44, berkata, dia terpaksa berdepan kerugian sekitar 95 peratus ekoran tidak dapat meneruskan operasi perniagaan.

“Modal keseluruhan saya untuk berniaga pada PAT kali ini mencecah RM10,000 dan setakat ini, kami belum lagi balik modal untuk duit sewa tapak yang berharga lebih RM1,000.

“Boleh dikatakan hampir keseluruhan peniaga yang beroperasi di sini terpaksa berdepan kerugian apabila kami tidak dapat meneruskan perniagaan ekoran tapak ini digenangi air,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, difahamkan, PAT 2025 tetap diteruskan dengan sedikit perubahan aktiviti dan lokasi susulan tapak lokasi itu masih berlumpur tebal berikutan hujan lebat semalam.

Sementara itu, seorang peniaga aiskrim food truck, Muhd Afiq Omar, 25, berkata, dugaan yang berlaku ini merupakan cabaran terbesar pernah dialaminya sepanjang berniaga di program PAT sejak empat tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI