fbpx

Peniaga terdesak jual gummy serendah RM5 bagi 30 biji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Rata-rata peniaga gula-gula ‘gummy eye ball’ masih giat melakukan jualan produk berkenaan meskipun larangan penjualan telah dikeluarkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Ini kerana dakwa mereka, penjualan tersebut terpaksa diteruskan untuk menghabiskan stok produk berkenaan bagi mengelakkan kerugian.

Malah ada dalam kalangan mereka turut ‘membuang’ harga gula-gula berkenaan yang dijual serendah RM5 bagi 30 biji berbanding sebelum ini sekitar 50 sen sebiji.

Menerusi satu siaran langsung semalam, seorang penjual di aplikasi TikTok dikenali sebagai farahdinaamaran memaklumkan bahawa dia terpaksa melelong produk berkenaan bagi mengelakkan kerugian.

Jelasnya, tindakan itu diambil bagi mengembalikan semula duit modal yang telah dilaburkan untuk membeli gula-gula terbabit sebelum ini.

“Saya nak ‘clearkan’ stok sahaja ni kak supaya dapat modal saya semula. Saya habiskan stok ni (gummy) dah tak jual dah,”ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di platform jualan dalam talian turut mendapati beberapa penjual turut menurunkan harga bagi produk berkenaan serendah 40 hingga 65 sen sebiji.

Selain itu, ada juga penjual turut menawarkan harga pukal yang lebih rendah sekiranya membeli dalam kuantiti yang banyak.

Kosmo! semalam melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bahawa gula-gula ‘gummy eye ball’ dilarang dijual di semua platform dalam talian dan pasaran domestik di mana tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan produk boleh dibuat berdasarkan peraturan sedia ada.

Ini kerana menurut KKM, siasatan mendapati produk itu telah menyalahi keperluan pelabelanyang diperuntukkan di bawah Peraturan peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Pulau Pinang meninggal dunia akibat tercekik gula-gula berkenaan.

Mangsa, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI