JAKARTA – Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian menyeru penduduk untuk menanam cili kerana harga bahan mentah itu dijangka meningkat dalam bulan Ramadan, lapor portal berita Suara semalam.
Tito berkata, cili merupakan tanaman yang mudah dijaga dan cepat untuk mendapatkan hasil.
“Tumbuhan ini mudah ditanam dan ia mudah serta cepat dituai,” katanya ketika mengulas mengenai data Badan Pusat Statistik (BPS) yang menunjukkan kenaikan harga barang tertentu di beberapa wilayah pada minggu kedua Februari ini.
Sebagai contoh, Tito memaklumkan, harga cili merah meningkat di 196 daerah atau bandar, minyak masak di 166 daerah atau bandar dan harga gula pasir menaik di 148 daerah atau bandar.
“Barangan yang perlu kita waspada (kenaikan harga) adalah cili merah, minyak goreng, gula pasir, cili padi, dan bawang putih,” ujar Tito.
Saranan Tito itu bagaimanapun menerima kecaman ramai, termasuk pendakwah bebas, Gus Arifin yang menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.
Menurut Gus Arifin, tempoh masa untuk menuai cili adalah 75 hingga 80 hari sedangkan bulan Ramadan akan tiba kurang dua minggu.
“Biji cili jika ditanam hari ini, ia hanya boleh dituai dalam 75 hingga 80 hari lagi. Bagaimana menteri tidak boleh memikirkan perkara itu?” katanya di platform X.
Hantaran itu menjadi tular dan menerima ulang ciap daripada pengguna media sosial yang bersetuju dengan pendapatnya.
“Jika saya boleh tanam cili sendiri, semua jenis sayur akan saya tanam dan menternak pelbagai jenis haiwan. Saya juga akan menghasilkan tenaga elektrik sendiri dan bina negara sendiri,” kata seorang pengguna media sosial. – AGENSI