IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia semasa menyertai pertandingan bola sepak persahabatan empat penjuru di Pulau Pinang petang tadi.
“Ya Allahu Azza Wa Jalla, Kau ampunilah dosa-dosanya, Kau kasihanilah dia dan terimalah segala amalan kebaikannya di dunia ini. Sama-sama kita doakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beramal soleh. Allahumma-Amin,” katanya di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning itu meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan empat penjuru di Stadium Bandaraya di George Town, Pulau Pinang kira-kira pukul 6 petang tadi.
Bekas pemain kebangsaan itu sempat diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum wakil rakyat berumur 59 tahun itu dilaporkan menghembus nafas akhir ketika dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapat rawatan lanjut.
Beliau meninggalkan seorang balu, Rozlita Abdullah dan empat zuriat masing-masing dua lelaki dan perempuan. – KOSMO! ONLINE