fbpx

Malaysia sumbang karpet kepada masjid berusia 411 tahun di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengurusan Masjid Jami Aulia Pekalongan bersama delegasi Malaysia selepas penyampaian sumbangan karpet dan program makan tengah hari semalam.

PETALING JAYA – Malaysia menyumbang karpet baharu kepada Masjid Jami Aulia Pekalongan, Indonesia sekali gus sumbangan bermakna untuk penduduk Islam Kelurahan Sapuro Kebulen menyambut kehadiran bulan Ramadan bakal tiba minggu depan.

Karpet berona hijau bermotif sejadah Raudhah Masjidil Nabawi, disumbang oleh Yayasan VFive, selain Teraju Construction Sdn. Bhd. dan beberapa individu dari Malaysia untuk kegunaan masjid itu yang mencecah usia 411 tahun.

Atase Agama, Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Mohd. Shamsuri Ghazali berkata, usaha itu membuktikan Kerajaan Malaysia Madani dan Indonesia mempunyai hubungan yang erat.

“Hubungan ini bukan sahaja dari segi keserumpunan bangsa dan budaya, tetapi juga melalui dakwah Islam kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan sempena penyampaian sumbangan karpet dan program makan tengah hari disertai lebih 1,000 jemaah semalam.

Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami Indonesia), Asro Kamal Rokan berkata, program sedemikian mampu mengukuhkan silaturahim kerana masjid bersejarah terletak kira-kira 361 kilometer dari Jakarta itu merupakan pusat aktiviti keagamaan masyarakat di kawasan berkenaan.

Nazir dan Ketua Umum Masjid Jami Aulia Pekalongan, Ahmad Dhananir Mutasil, 67, berkata, pihaknya mewakili jemaah Masjid Jami Aulia mengucapkan terima kasih atas sumbangan tersebut selain berharap, rakyat kedua-dua negara perlu mencari persamaan berlandaskan agama dan faktor serumpun kerana hubungan yang diibaratkan ahli keluarga.

“Sama-sama kita berdoa agar pemimpin kedua-dua negara terus memperkukuhkan hubungan. Begitu juga rakyat Indonesia dan Malaysia, harus terus memelihara kesamaan akar budaya, sejarah, agama, bahkan keturunan yang sama,” katanya.

Masjid Jami Aulia Pekalongan, dibina pada tahun 1614 dipilih sebagai penerima kerana nilai sejarahnya yang tinggi.

Masjid ini dibangunkan oleh empat tokoh agamawan terkemuka iaitu Kiai Maksum, Kiai Sulaiman, Kiai Lukman, dan Nyai Kudung, yang diutus oleh Kesultanan Demak Bintoro. Keempat-empat tokoh ini dikenali sebagai penyebar ajaran Islam di Jawa Tengah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI