PETALING JAYA – Tak semua menantu bertuah disayangi mentua. Itu yang terjadi kepada penyanyi rap Loca B apabila tidak dapat menahan sakit hati menanggung perbuatan ibu mentuanya.
Sekian lama memendam rasa, Loca B atau nama sebenarnya Nabilah Hani Azali, 33, enggan lagi hidup dalam trauma sehingga perlu memilih untuk mendedahkan kemelut keluarga kepada umum.
“Kepada ibu mentua saya, Marni. Hari ini hari terakhir saya menyorok di belakang trauma.
“Saya lepaskan di sini (Instagram) tanpa izin kamu kerana selama ini kamu melakukan semua perkara tanpa izin saya,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Dakwa pelantun lagu Gila itu, ibu mentuanya pernah berkomplot bersama ipar mencuri wang hasil titik peluhnya ketika sedang hamil anak perempuannya, Bintang Aiko.
“Kamu yang berkomplot bersama ipar kami untuk curi duit kerja keras saya dan anak kamu sendiri dengan menggunakan nama Tuhan serta keluarga. Itu semua duit kerja keras saya.
“Sebab kamu takut anak kamu, tapi berani pergunakan saya. Kamu gunakan saya untuk mendapat persetujuan dia. Saya pun bodoh ingin ambil hati mentua.
“Kamu pertikaikan kerja saya, penampilan dan kebolehan saya, kamu sedaya upaya mahu buat saya nampak kecil,” dedahnya.
Dalam masa sama, Loca memberi amaran akan terus mendedahkan keburukan wanita terbabit andai masih memburukkan dirinya dan suami yang juga penyanyi, Tuju.
Sementara itu, Tuju atau Mohd Azree Shah Awang Zamree, 29, berkata dia sudah cuba menghubungi ibunya, namun nombor telefonnya disekat.
“Maafkan saya. Saya sudah mesej secara peribadi akan tetapi sudah disekat.
“Saya hanya anak dan perlukan kedua-dua ibu bapa yang harus pandai bertanggungjawab, jangan dibiar,” katanya menerusi Instagram Story.
Loca B dan Tuju mendirikan rumah tangga pada Mac 2021 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak, Bintang Aiko, 3.
Loca juga mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu, Yusuf Alexander, 9. – KOSMO! ONLINE.