GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Perak, Ishsam Shahruddin, 59, pengsan dan tidak sedarkan diri semasa bersalaman dengan pemain sempena Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berlaku di tepi padang stadium berkenaan pada pukul 5.20 petang tadi.
“Beliau dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang pukul 5.40 petang tadi setelah bantuan kecemasan diberikan di tepi padang. YB (Yang Berhormat) disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan, Hospital Pulau Pinang pada pukul 6.28 petang,” katanya hari ini.
Allahyarham Ishsam merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Perak tahun 80-an dan 90-an.
Beliau yang mewakili parti Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Parlimen Tapah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) -KOSMO! ONLINE