LONDON – Majlis Bandaraya Southend, England memberi amaran kepada para pemandu berhubung penipuan pelekat kod respon pantas (QR) yang diletakkan di sebuah tempat letak kereta, lapor akhbar The Sun UK semalam.
“Pemandu digesa untuk tidak mengimbas kod QR yang dilekatkan pada beberapa papan tanda di kawasan parkir.
“Kami juga telah mencabut kira-kira 100 pelekat kod QR palsu itu sejak petang Selasa lalu,” kata pihak berkuasa tempatan itu.
Pihak berkuasa menegaskan bahawa pihaknya tidak meletakkan kod QR pada mana-mana mesin dan papan tanda, atau menggunakan sebarang aplikasi mudah alih untuk membuat bayaran.
“Kami mahu menggalakkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan penipuan ini,” kata Ketua Majlis Buruh, Daniel Cowan.
Majlis itu juga mendapati penipuan licik kedua di mana orang ramai menerima mesej berkenaan notis caj penalti (PCN).
“Majlis Bandaraya Southend tidak akan menghantar mesej tentang PCN. Sila abaikan teks ini dan jangan klik pautan mencurigakan untuk membuat pembayaran,” tambahnya. – AGENSI