fbpx

Final Piala Malaysia pada 12 April depan – MFL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JDT merupakan juara bertahan Piala Malaysia selepas mendominasi edisi 2023 dengan menewaskan Terengganu FC (TFC).

PETALING JAYA – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berentap dengan Sri Pahang pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 12 April depan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini, keputusan penetapan tarikh itu dibuat selepas mengambil kira kesesuaian kalendar Liga Malaysia (Liga M) 2024-2025 serta pembabitan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

“Tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia itu dilihat akan memberi ruang kepada JDT untuk mengharungi peringkat kalah mati ACLE di mana pembabitan JDT di pentas antarabangsa cukup penting dalam menyumbang mata bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ranking kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“MFL selaku badan pengelola jelas komited untuk menyokong mana-mana kelab yang menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa malah keputusan penetapan tarikh final edisi ke-98 itu mendapat persetujuan dan sokongan baik SPFC,” kata MFL.

Sementara itu, badan pengelola liga kebangsaan itu turut menyatakan pemilihan tarikh itu dibuat selepas mengambil kira ketersediaan SNBJ sebagai venue bagi perlawanan akhir yang berprestij itu.

“Antara faktor penting dalam pemilihan tarikh 12 April 2025 itu juga adalah ketersediaan venue SNBJ yang dilihat gelanggang paling sesuai untuk menyambut kehadiran ribuan penyokong kedua-dua pasukan itu nanti.

“SNBJ akan ditutup untuk kerja-kerja penambahbaikan padang bermula selepas tamatnya perlawanan akhir Piala Malaysia, menjadikan 12 April sebagai tarikh paling ideal untuk menganjurkan perlawanan akhir.

“Perubahan tarikh perlawanan akhir ini juga akan membabitkan pindaan tarikh-tarikh perlawanan Liga Super minggu 25 dan 26,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI