LONDON – Lando Norris menegaskan bahawa McLaren tidak mempunyai sebarang alasan untuk gagal memenangi kejuaraan dunia Formula Satu (F1) 2025 selepas kejayaan mereka dalam kategori pengeluar musim lalu.
Menerusi kelebihan kelajuan berbanding pesaing terdekat, McLaren kini dianggap sebagai pasukan pilihan untuk mencabar kejuaraan dunia pada musim baharu.
Norris sendiri diletakkan sebagai calon utama untuk merangkul gelaran pemandu dan dia percaya jika pasukannya dapat memulakan musim dengan cemerlang, mereka akan berada dalam kedudukan terbaik untuk merebut kedua-dua kejuaraan.
“Saya harap begitu dan kami telah membuktikan bahawa McLaren mempunyai segala yang diperlukan untuk bersaing di puncak.
“Jika kami gagal pada awal musim ini, itu bermakna kami tidak cukup bagus dan tidak menjalankan tugas dengan baik,” kata Norris.
Norris juga menekankan bahawa McLaren tidak mahu mengulangi kesilapan lalu apabila terlalu optimistik ketika pramusim dan kini lebih berhati-hati.
“Kami masih mahu merasakan seperti pasukan yang perlu membuktikan sesuatu. Tekanan akan ada, tetapi itu bukan sesuatu yang buruk. Saya sentiasa beraksi lebih baik di bawah tekanan.
“Ramai yang menganggap saya sebagai pilihan utama. Tetapi tekanan itu membantu saya fokus dan beraksi dengan lebih baik. Saya tahu saya perlu memperbaiki banyak aspek, terutamanya dalam pertarungan menentang Max (Verstappen),” katanya. – AGENSI