LIVERPOOL – Manchester United mempamerkan kebangkitan dramatik selepas ketinggalan dua gol untuk mengikat Everton dengan keputusan seri 2-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Goodison Park sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad The Red Devils kendalian Ruben Amorim membariskan kesebelasan terbaik dengan Bruno Fernandes, Joshua Zirkzee dan Rasmus Hojlund mengetuai jentera serangan.
Namun, tuan rumah terlebih dahulu mencipta kejutan apabila penyerang utama, Beto menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-19 selepas menerima hantaran Abdoulaye Doucoure.
Jaringan tersebut menaikkan semangat The Toffees untuk menggandakan asakan dan berjaya meraih gol kedua dengan kini giliran Doucoure mencetak nama selaku penjaring dengan tandukan tepat pada minit ke-33.
Bersambung pada babak kedua, United memperkemaskan jentera serangan dan berjaya merapatkan kedudukan hasil sepakan percuma yang dilakukan oleh Fernandes pada minit ke-72.
United kini memiliki momentum terbaik dalam usaha mencuri mata berharga dan sekali lagi mengharapkan situasi set piece untuk menyamakan kedudukan selepas sepakan percuma Fernandes disudahkan Manuel Ugarte berselang lapan minit kemudian.
Namun, Everton dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan selepas Jarrad Branthwaite dijatuhkan tetapi pengadil perlawanan membatalkan keputusan tersebut selepas meneliti video bantuan pengadil (VAR).
Keputusan 2-2 kekal hingga wisel penamat sekali gus menyaksikan United kini meraih 30 mata manakala Everton mengutip 31 mata. – KOSMO! ONLINE