JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) merekodkan secara nisbah seramai empat daripada 1,000 bayi yang dilahirkan di negeri ini mempunyai masalah pendengaran.
Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohtar Pungut berkata, statistik itu diperoleh menerusi pemeriksaan dijalankan terhadap 86.75 peratus daripada keseluruhan bayi yang dilahirkan di negeri ini sepanjang tahun lalu.
Sehubungan itu katanya, JKNJ akan meningkatkan lagi pemeriksaan pendengaran terhadap bayi sehingga mencapai tahap 90 peratus daripada jumlah kelahiran, tahun ini.
“Setiap bayi yang lahir akan dibuat pemeriksaan pendengaran dalam tempoh 28 hari usia mereka, sekiranya dikesan mempunyai masalah pendengaran, intervensi awal boleh terus dilakukan.
“Ada beberapa tahap dalam masalah pendengaran, sekiranya tidak kritikal ia boleh dipulihkan atau mungkin memerlukan pemakaian implan koklea bagi membolehkan kanak-kanak terlibat mendengar semula,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Zoo Johor, di sini hari ini.
Tambah Dr. Mohtar, nisbah bayi mempunyai masalah pendengaran di Johor adalah lebih tinggi berbanding nisbah antarabangsa iaitu seramai tiga daripada 1,000 bayi bagi kelahiran di peringkat seluruh dunia. – KOSMO! ONLINE