PETALING JAYA – Pelakon Dini Schatzman tidak dapat menahan sebak apabila menerima hadiah berupa sebuah kereta daripada isteri tercinta, Janna Nick baru-baru ini.
Janna atau nama lengkapnya, Nurul Jannah Muner berkata, dia sudah menyimpan rahsia untuk menghadiahkan kereta tersebut kepada Dini sejak dua minggu lalu.
“Hari ini saya nak buat kejutan untuk Dini, nak bagi kereta baru. Saya simpan rahsia ini sudah lebih dua minggu.
“Saya tipu konon nak ajak dia pergi ‘dating’. Dia memang terkejut sangat sebab saya memang tak bagi beli kereta,” katanya dalam sebuah video.
Meraih lebih 3.2 juta tontonan dalam TikTok, Dini dilihat menangis sebelum dipeluk dan ditenangkan Janna ketika menerima hadiah tersebut.
“Awak tidak perlu pun buat begitu. Ini kereta impian saya! Alhamdulillah,” tuturnya.
Janna dan Dini bagaimanapun tidak mendedahkan model kereta baharu tersebut namun rata-raya netizen mendakwa model kereta tersebut ialah Land Rover Defender. Dini menerusi Instagram dua hari lalu ada mengiklankan kereta jenis Volvo miliknya untuk dijual.
Menjengah ke dalam komen, rata-rata netizen turut berasa sebak tetapi dalam masa sama terhibur dengan gelagat pasangan tersebut.
Tidak kurang juga ada yang mendoakan agar pasangan tersebut segera dikurniakan cahaya mata.
“Ini baru kejutan kereta, bayangkan Janna beri kejutan dia hamil? Apa agaknya reaksi Dini.
“Senyum seorang diri tengok video ini, lucu lihat Dini menangis.
“Jadi isteri memang begini, kalau suami baik, dia akan belikan apa sahaja,” komen netizen.
Dini dan Janna mendirikan rumah tangga pada 9 Jun 2023 selepas lima tahun menjalinkan hubungan cinta. – KOSMO! ONLINE