PETALING JAYA – DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DHU) telah meraikan kecemerlangan akademik dan kejayaan 399 pelajar di Istiadat Konvokesyen ke-9 di Dewan Canselor Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan Pahang, baru-baru ini.
Majlis gilang-gemilang yang telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Universiti iaitu Tan Sri Syed Faisal Albar itu menyaksikan penganugerahan ijazah dan sijil untuk pelbagai program akademik.
Ini termasuk dua graduan Doktor Falsafah, satu Ijazah Sarjana dan 72 Ijazah Sarjana Muda.
Selain itu, 113 graduan telah menerima Diploma, 25 graduan Program Asasi, 123 graduan Program Profesional, dan 70 graduan dari Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) telah menerima sijil.
Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif DHU, Prof. Datuk Seri Dr. Omar Osman berkata, pihak universiti berasa amat bangga atas kejayaan para graduan tahun ini, yang termasuk tiga pelajar luar negara.
Beliau memaklumkan bahawa DHU telah mencapai kejayaan dalam bidang penyelidikan melalui sumbangan pasukan fakulti kepada kemajuan ilmu pengetahuan dan pembangunan industri.
Sebanyak 16 kemenangan telah diraih dalam pelbagai pertandingan penyelidikan, termasuk enam pingat emas, empat perak, lima gangsa, serta satu Anugerah Kelestarian Alam.
“Kejayaan-kejayaan ini adalah bukti kepada komitmen serta dedikasi para penyelidik kami untuk terus menyumbang secara signifikan di dalam kemajuan ilmu pengetahuan dan pembangunan industri” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Omar menerangkan, lebih membanggakan, kebolehpasaran graduan universiti tersebut adalah 95 peratus dengan 3,353 daripada 3,514 graduan telah berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor.
Tambah beliau, DHU terus berkembang dengan menawarkan pendidikan yang lebih fleksibel dan mudah diakses.
“Melalui inisiatif Reshape Academic Program, DHU menyediakan tiga program Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) yang baharu serta kursus tambahan untuk memenuhi permintaan pembelajaran moden, jelasnya. -KOSMO! ONLINE