DUBAI – Seorang wanita di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mengundang perhatian ramai apabila menerima pelbagai hadiah mewah daripada suaminya selepas bersalin anak kedua, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @malaikahraja memaparkan wanita itu menerima sebuah kereta jenama Mercedes Benz G Wagon dan banglo bernilai 2 juta dirham (RM2.4 juta).
Dia juga dihadiahkan lapan beg jenama Dior berharga 100,000 dirham (RM120,383) setiap satu bersama gelang 80,000 dirham (RM96,307).
“Saya turut menerima wang bulanan sebanyak 50,000 dirham (RM60,183) untuk membeli pakaian dan barang kemas berharga 70,000 dirham (RM84,256) untuk anak perempuan saya,” katanya dalam klip video itu.
Rakaman itu mencatatkan lebih 15.4 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
“Sikap menunjuk-nunjuk adalah haram,” kata seorang netizen.
“Anda (wanita berkenaan) berkahwin dengan suami anda kerana duit,” kata netizen lain. – AGENSI