BESUT – Seorang bapa risau keselamatan anak gadisnya yang ghaib tanpa khabar berita setelah pelajar tingkatan lima tersebut dipercayai menghilangkan diri dari asrama sebuah sekolah menengah agama di daerah ini sejak kelmarin.
Ahmad Firdaus Mohd Zain, 37, berkata, kehilangan anaknya, Nurkhairina Husna, 17, disedari apabila dimaklumkan salah seorang guru sekolahnya pada pukul 11. 30 malam.
“Anak saya (Nurkhairina Husna) tiada di bilik asramanya. Saya dimaklumkan sebelum hilang, dia memaklumkan rakan sebiliknya mahu mencuci pakaian di bilik air pada pukul 9.40 malam.
“Sebelum itu, dia menghubungi isteri saya mendesak agar segera mengambilnya dengan alasan tidak suka duduk asrama (sekolah),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ahmad Firdaus berkata, dia dan isterinya pada mulanya akur dengan permintaan itu dan bercadang untuk menguruskan urusan tersebut keesokan harinya namun anak mereka menghilangkan diri lebih awal.
Dia menjelaskan Nurkhairina Husna telah memulakan sesi persekolahan baharu bermula Ahad minggu lalu sebagai persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
“Saya risau dia tidak pulang terus ke rumah malah tidak dapat dihubungi langsung.
“Tambah membimbangkan saya dan isteri menerima pelbagai maklumat keberadaan anak kami termasuk didakwa kini berada di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu yang tidak dapat dipastikan kebenarannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE