PETALING JAYA – Empat bulan bertunang, pelakon Atiq Azman kini selamat diijabkabulkan dengan wanita pilihannya, Alia Natasha, dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan, malam tadi.
Menerusi video dalam TikTok, pasangan pengantin tampil anggun dalam persalinan tradisional serba putih.
Majlis penuh bermakna itu berlangsung dalam suasana sederhana namun meriah dengan kehadiran ahli keluarga kedua-dua belah pihak.
Alia menerima mas kahwin sebanyak RM200 daripada Atiq atau nama sebenarnya Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 25, sebelum pasangan mempelai duduk di pelamin untuk acara menyarungkan cincin.
Pelakon drama Hawt Fellas itu turut berkongsi momen istimewa tersebut dalam Instagram dengan memuat naik foto-foto pernikahan mereka.
“Perkahwinan yang hebat bukanlah apabila pasangan sempurna bersatu tetapi apabila mereka belajar menikmati perbezaan pasangan.
“Hai isteriku,” tulisnya ringkas.
Rata-rata peminat mengucapkan tahniah atas perkahwinan pasangan itu dan mendoakan kebahagiaan mereka hingga ke syurga.
“Tahniah Atiq dan isteri. Semoga berkekalan hingga ke Jannah,” komen peminat.
“Pasangan sama cantik, sama padan. Moga bahagia selamanya,” tulis netizen.
Terdahulu, Atiq dan Alia yang bertugas sebagai pramugari mengikat tali pertunangan pada 26 Oktober tahun lalu dalam sebuah majlis di Seremban, Negeri Sembilan. – KOSMO! ON
LINE .