GEORGE TOWN – “Arwah tiba-tiba berkongsi karipap yang dimakan kepada saya tadi.”
Demikian perkongsian pemandu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia selepas pengsan ketika berada di Stadium Bandaraya, di sini petang tadi.
Menurut Jaafar Mohd. Puzi, 47, dia tidak menyangka itu merupakan kenangan terakhirnya bersama Allahyarham setelah berkhidmat sejak 15 tahun lalu.
“Saya terkejut, tiba-tiba YB (Yang Berhormat) kongsi karipap dengan saya. Perkara ini memang pernah berlaku tapi tiga tahun lalu. Saya rasa pelik sebab dia jarang bagi makanan dia. Malah hari ini beliau banyak diam dan hanya ulang kaji untuk program esok.
“YB sempat bermain selama 25 minit kemudian beliau pergi salam dengan orang dan terus jatuh,” katanya sambil menyifatkan Allahyarham seorang yang baik dan suka menolong orang.
Allahyarham Ishsam meninggalkan seorang balu dan empat orang anak masing-masing dua lelaki dan dua perempuan. -KOSMO! ONLINE