RIYADH – Umat Islam dilarang menggunakan kamera di dalam masjid untuk merakam imam dan jemaah mengerjakan solat sepanjang bulan Ramadan, lapor laman berita Gulf News semalam.
Larangan itu dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Seruan dan Bimbingan Arab Saudi, dan ia turut melibatkan solat tarawih.
Menurut agensi berita rasmi, Saudi Press Agency (SPA), kementerian itu juga melarang penghantaran atau penyiaran rakaman secara langsung solat melalui mana-mana platform media.
Kementerian tersebut menekankan kepentingan imam dan pendakwah bagi mematuhi garis panduan itu dan meminta umat Islam untuk menjaga kesopanan serta etika agama yang betul di dalam masjid.
Langkah-langkah itu diadakan bertujuan untuk memelihara kesucian masjid dan suasana beribadat, selain memastikan tiada gangguan yang menjejaskan jemaah masjid.
Ketua Hal Ehwal Agama Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah, Sheikh Dr. Abdulrahman Al Sudais menyatakan komitmen kementerian itu untuk menyediakan perkhidmatan dan program berkualiti tinggi sepanjang Ramadan tahun ini.
Beliau berkata, kementerian akan mempertingkatkan pelan operasi pendigitalan dalam bulan Ramadan kali ini yang akan memudahkan jemaah umrah di dua buah masjid berkenaan. – AGENSI