PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim senada dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron untuk mempertingkat kerjasama dalam bidang pertahanan, ekonomi dan tenaga selain perdagangan, pelaburan, pelancongan dan juga kecerdasan buatan (AI).
Perkara itu dinyatakan sewaktu panggilan telefon Anwar dengan Macron semalam.
“Saya singkap perkembangan hasil pertemuan kami ketika menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio De Janeiro, Brazil, pada 19 November lalu,” katanya pada hantaran Facebook malam tadi.
Anwar berkata, beliau turut menyatakan penghargaan kepada Macron di atas sokongan diberikan terhadap pembangunan semula Gaza ekoran kekejaman rejim Zionis Israel sebelum ini.
“Kami juga sepakat untuk mencari jalan penyelesaian isu berkaitan Myanmar dalam mewujudkan keamanan di negara itu menggunakan pendekatan diplomatik yang bersesuaian.
“Dalam kesempatan yang ada, saya turut menyatakan kesediaan kerajaan menerima kehadiran Macron dan delegasi ke Malaysia Mei ini dalam usaha meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE