fbpx

Aduhai Shuk Sahar, Fara! Kifarah, karma atau ujian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAMA Shuk Sahar kembali memanas apabila didakwa tidak bertanggungjawab malah mengeluarkan kenyataan menghina anak dalam kandungan isterinya. Paling dramatik, dakwaan itu keluar dari mulut isterinya sendiri, Fara Salleh.

DUNIA hiburan tanah air ibarat lautan penuh badai, tenang di permukaan, tetapi di dasarnya ada gelora menggila. Ada sahaja kisah sensasi seperti artis bercerai taklik, diikuti isu selebriti terjebak dengan kes ‘scammer’ hingga disiasat, semuanya menjadi tajuk berita saban tahun.

Drama yang hampir serupa konteksnya, watak dan ‘plot twist’ sahaja yang bertukar, menjadikan semua kemelut seperti skrip klise, namun tetap dipentaskan.

Minggu ini, rumah tangga pelawak Shuk Sahar dan isteri baharunya, Fara Salleh kembali bergolak. Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba gegaran berlaku.

Drama bersiri pasangan itu bagai dihantar langsung dari neraka emosi, penuh twist yang melelahkan akal.

Ketika rakyat Malaysia masih dihantui kematian tragis wanita ketika membuat penghantaran, Fara muncul dengan ledakan emosi dalam media sosial.

Hantaran yang penuh luka itu pantas menjadi bahan sensasi, memalit pemilik nama sebenar Mohamad Shukri Mohamed Sahar dengan tuduhan penderaan mental.

“Tak pernah nampak batang hidung selama saya masuk wad, tak tanya khabar. Tahu tak anak okey atau tidak?

“Tahu risiko saya bawa anak awak ini? Kau tahu tak, anak kau ini makin membesar, makin jantung aku tak stabil?

“Berhenti buat provokasi menggunakan telefon orang gaji, saya sudah lama diam dan pendam.

FARA meluahkan rasa kecewa dalam media sosial apabila Shuk langsung tidak muncul menjenguknya sepanjang dia dirawat di hospital, malah mendakwa suaminya gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Ke mahkamah?

“Awak tak nak tanggungjawab awak diam, sepatutnya beri sokongan mental bukannya tengking dan bentak saya,” luahnya.

Tidak cukup di situ, Fara turut mendedahkan penghinaan melampau yang pernah diterimanya daripada Shuk, termasuk tuduhan keji terhadap anak dalam kandungannya.

Lebih perit, Fara kini memilih untuk berdikari tanpa mengharapkan bantuan lelaki berusia 38 tahun itu demi anak yang bakal dilahirkan.

“Masa di Paris pun awak hina, cakap saya mengandung anak haram dan panggil saya jalang,” tulisnya dengan nada marah yang sukar dibendung.

“Makanlah segala rezeki anak bini Allah bagi pada kau. Insya-Allah, saya boleh cari duit sendiri untuk sediakan barang anak dan bersalin nanti. Saya tak takut hilang awak.

“Berseronoklah hidup dengan kawan-kawan ya. Terima kasih untuk segalanya,” sindirnya tajam.

Jika boleh dihamparkan dalam bentuk ‘resume’, pelawak yang bermula dengan kumpulan Balas itu mungkin lebih sinonim dengan skandal berbanding bakat seni.

Episod curang, perceraian, dan kini tuduhan penderaan mental menjadi fakta dalam portfolio peribadinya.

Seperti biasa, netizen pantas melontarkan pendapat, kebanyakannya penuh jemu dan sinis. Namun, sepertinya kontroversi kali ini mungkin bukan sekadar perbalahan rumah tangga biasa, malah Fara seperti memberi bayangan kes bakal diheret ke muka pengadilan.

“Mohon beri kerjasama di mahkamah nanti,” tegasnya, seolah-olah memberi isyarat episod baharu bakal bermula.

FARA seperti sudah nekad mahu membawa isu rumah tangganya ke mahkamah. Dia memberi amaran agar Shuk bersiap sedia menghadapi tuntutan undang-undang.

Meratib kepada Tuhan

Setiap perbuatan pasti ada balasannya. Sejak dari awal, Fara tidak pernah lari daripada jolokan orang ketiga.

Netizen yang pernah memerhati kehancuran perkahwinan pertama Shuk bersama Rossa Sera kini menyifatkan situasi Fara sebagai kifarah.

Barangkali tiada lagi ayat untuk memulangkan paku buah keras, Fara hanya meratib nama Tuhan.

“Kifarah? Alhamdulillah. Karma? Alhamdulillah. Ujian? Alhamdulillah.

“Alhamdulillah balasan saya kat dunia, insya-Allah ringan kat akhirat. Sekurangnya Allah bagi perhatian pada saya, ingat saya,” balasnya menutup serangan dengan pengakuan penuh reda.

Setakat semalam, Shuk masih mengambil pendekatan berdiam diri apabila mesej dan panggilan telefon tidak dijawab.

Barangkali pelawak itu sedang menyusun kata mencari jawapan paling kukuh demi menjernihkan keadaan.

Ironinya, jika perkahwinan pertama pelakon filem Cikgu VS Hantu itu dilihat karam akibat gelora curang, episod kali ini ibarat bom masa yang akhirnya meledak.

Khalayak tidak lagi mahu menyokong drama pasangan suam-suam kuku itu, malah ada yang menyindir agar sinetron ratusan episod ini segera tamat tanpa tayangan ulang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI