fbpx

ACC2025: Anak-anak Sahrom ke separuh akhir pecut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAH Firdaus mempamerkan ketangkasan menewaskan pelumba Thailand, Jai Angsuthasawit di Velodrom Nasional, Nilai. - Amir Khalid

NILAI – Pasangan adik-beradik, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Ridwan Sahrom, membuktikan kehebatan mereka apabila mara ke separuh akhir acara pecut individu lelaki elit di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025, sekali gus memastikan sekurang-kurangnya satu pingat buat Malaysia.

Dalam aksi suku akhir sebentar tadi, Shah Firdaus mempamerkan ketangkasan menewaskan pelumba Thailand, Jai Angsuthasawit, dengan keputusan 2-1.

MUHAMMAD Ridwan Sahrom menewaskan pelumba dari China, Liu Qi dalam aksi suku akhir pecut ACC2025 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan. – Amir Khalid

Kejayaan itu disusuli dengan persembahan luar biasa Ridwan, yang mencipta kejutan dengan menundukkan pelumba China, Liu Qi, juga dengan keputusan 2-1.

Dengan kemenangan ini, satu pingat sudah berada dalam genggaman skuad negara, namun warna pingat hanya akan ditentukan menerusi aksi separuh akhir esok.

Cabaran getir menanti apabila Shah Firdaus bakal berdepan Shinji Nakano, manakala Ridwan akan menentang seorang lagi wakil Jepun, Ota Kaiya.

Separuh akhir ini menjadi peluang terbaik buat mereka untuk menempah tiket ke final dan merebut emas buat Malaysia di pentas ACC 2025.

Sementara itu, bagi aksi wanita pula, pelumba sensasi negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan rakan senegara, Nurul Alyssa Farid 2-0.

Dalam pada itu, bagi aksi remaja pula, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak berjaya membawa pulang pingat perak menerusi acara keirin wanita.

Selain itu, Dania Avriel Alviera Azif turut membawa pulang pingat gangsa menerusi acara perlumbaan scratch.

Saingan kategori para pula menyaksikan kem berbasikal negara berjaya menuai satu emas, perak dan gangsa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI