NILAI – Pelumba negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri berada dalam momentum terbaik untuk memburu pingat emas dalam acara pecut individu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 selepas memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri, hari ini.
Pelumba berusia 22 tahun itu mencatat masa
10.685 saat (s) dalam pusingan kelayakan di Velodrom Nasional, Nilai, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan yang dilakukannya sewaktu Sukan Olimpik Paris dengan catatan 10.709s.
Nurul Izzah, yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman mengakui tidak menjangkakan keputusan tersebut kerana sebelum ini masih bergelut dengan catatan masa dalam saingan Siri Trek ASEAN 2025 Piala Presiden bulan lalu.
“Saya sangat teruja dan bangga dengan pencapaian ini. Esok adalah penentuan sama ada saya dapat mara ke final untuk memburu pingat emas atau penentuan gangsa.
“Saya tak sangka dapat memecahkan rekod dalam tempoh kurang setahun selepas melakukannya pada Ogos tahun lalu.
“Saya harap dapat terus memperbaiki prestasi ini,” katanya yang berjaya melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan rakan senegara, Nur Alyssa Mohd. Farid.
Mengulas mengenai aksi separuh akhir esok, Izzah bakal berdepan cabaran getir menentang wakil China, Guo Yu Fang sekali gus enggan terlalu selesa dengan pencapaiannya kerana keirin adalah perlumbaan yang sukar dijangka.
“Menjelang keirin, saya perlu meningkatkan keyakinan dan merangka strategi terbaik kerana perlumbaan ini memerlukan keputusan yang pantas,” tambahnya. KOSMO! ONLINE