fbpx

20 minit meniarap dalam longkang hanyir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara PATI yang bersembunyi di salah sebuah longkang di Kompleks Pasar Meru Klang. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

KLANG – “Saya kosong, jadi terpaksa meniarap dalam longkang hanyir,”

Demikian kata seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia, Sahrial Jimin, 40, yang dicekup Jabatan Imigresen (JIM) selepas 20 minit bersembunyi bersendirian di salah satu longkang di Kompleks Pasar Meru di sini, hari ini.

Bapa kepada seorang anak itu antara 598 PATI pelbagai negara yang berjaya ditahan dalam operasi bersepadu selama dua jam bermula pukul 5.30 pagi.

Kata Sahrial, ini merupakan kali kedua dia ditangkap pihak berkuasa selepas pertama kali pada tahun 2005 akibat ketiadaan dokumen.

“Kali pertama saya memasuki negara ini mengikut jalur belakang pada tahun 2004 dengan bayaran kepada sindiket RM500.

“Pada tangkapan pertama, saya telah dihukum penjara 8 bulan dan dihantar pulang ke Indonesia. Kali ini disebabkan permit kerja saya telah tamat dua tahun lalu selepas memasuki negara ini secara sah pada 2022,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

PATI berasal dari Batu Bara, Medan memaklumkan dia bekerja di gerai menjual ikan dengan pendapatan RM2, 000 sebulan.

“Separuh daripada gaji saya hantar ke kampung untuk keperluan isteri dan anak perempuan berusia 13 tahun.

“Memang saya kosong (tiada dokumen pengenalan diri). Majikan suruh buat permit pakai orang tengah namun tidak dibuatnya,” ujarnya.

Tinjauan Kosmo! sepanjang serbuan turut mendapati ada segelintir PATI bersembunyi bawah meja niaga, bumbung kedai selain lari sehingga lebuh raya berhampiran.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jafri Embok Taha berkata, seramai 153 anggota termasuk pegawai daripada JIM Selangor, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara dan Majlis Bandaraya Diraja Klang serta memeriksa 630 warga asing telah diperiksa.

Hasilnya, menahan seramai 530 warga Myanmar, Bangladesh (85), Indonesia (sembilan), India (5) dan Nepal (1) yang berusia 17 hingga 59 tahun dengan kes disiasat mengikut
Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan
-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Kebanyakan mereka ini sebelum bekerja di bidang atau tempat lain dan terus digajikan majikan sehingga menyebabkan berada dalam negara lebih masa dan tiada dokumen.

“Hasil pemeriksaan, juga mendapati ada PATI berniaga dengan menyewa daripada pemilik asal. Budaya ‘ali baba’ seperti ini menjadi salah satu kemungkinan akan berlakunya kenaikan barangan bagi mereka menampung bayaran bulanan sewa itu,” katanya.

Beliau mengakui pasar harian dan borong di seluruh negara menjadi lubuk atau lokasi panas kepada lambakan PATI dan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Ini adalah kali kedua serbuan seumpamanya dilakukan di Pasar Meru. Kita akan sentiasa mempertingkatkan operasi sebegini pada masa depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI