TUMPAT – Seorang wanita warga emas dan suaminya yang sebelum ini direman bagi kes mencuri wang di dalam beg tangan di majlis kenduri di Pasir Mas dekat sini ditahan sekali lagi bagi membantu siasatan berhubung kes sama melibatkan kerugian sebanyak RM3,000 di sebuah rumah di Kampung Periok, Chabang Empat di sini pada tahun lalu.
Wanita warga emas berusia 61 tahun dan suspek lelaki berusia 62 tahun itu ditahan sebaik sahaja tempoh reman kes di Pasir Mas tamat semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung kehilangan wang tunai sebanyak RM3,000 di dalam beg tangan isterinya kira-kira pukul 10.18 pagi pada 22 Februari tahun lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, seorang wanita berusia dalam lingkungan 60-an yang tidak dikenali hadir ke majlis perkahwinan anak perempuan di rumahnya di Kampung Periok, Chabang Empat di sini.
Menurutnya, suspek berpura-pura menghadiri majlis kenduri itu dan menceroboh ke dalam bilik tidur mangsa sebelum dipercayai mencuri beg tangan milik isterinya yang mengandungi wang tunai sebanyak RM3,000.
“Suspek kemudian terus beredar majlis kenduri tersebut.
“Susulan daripada itu, seorang wanita dan lelaki warga emas masing-masing berusia dalam lingkungan 60-an ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Khairi memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat Sarjan Mejar Norhafeza Jusoh di talian 09-725 7222.
Menurutnya, suspek wanita ditahan reman selama empat hari manakala suaminya dua hari masing-masing bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, selepas lebih dua minggu, seorang wanita warga emas yang dipercayai menyamar sebagai tetamu sebelum melarikan beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 pada majlis kesyukuran di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan di sini pada 1 Februari akhirnya dicekup pada Ahad lalu.
Sehubungan itu, warga emas berusia 61 tahun dan suspek lelaki berusia 62 tahun direman selama empat hari bermula Isnin lalu hingga semalam.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, hasil pemeriksaan mendapati, wanita warga emas itu mempunyai 10 rekod lampau berkait kes menceroboh rumah, mencuri di dalam rumah, sekatan buang daerah (PCO) yang dihadkan, meragut dan mencuri.
“Kesemua rekod lampau itu melibatkan kesalahan yang dilakukan di pelbagai lokasi di Kelantan dan Terengganu manakala PCO pula di Slim River, Perak,” katanya. – KOSMO! ONLINE