PETALING JAYA – Kecoh di kumpulan WhatsApp dan media sosial berhubung kes dakwaan cubaan merogol seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid dekat Batang Kali, Selangor pagi tadi.
Kejadian difahamkan berlaku ketika beberapa penduduk setempat sedang menunaikan solat subuh di masjid terbabit.
Secara tiba-tiba, seorang lelaki memasuki ruang solat wanita dan mengangkat seorang kanak-kanak perempuan yang sedang solat dari arah belakang.
Lelaki tersebut kemudiannya membawa kanak-kanak itu ke ruang yang lain dan dilihat cuba melakukan perkara terkutuk ke atas mangsa.
Tindakan tidak bermoral tersebut berjaya dirakam televisyen litar tertutup yang dipasang di beberapa sudut di dalam masjid berkenaan.
“Kejadian waktu solat subuh (21 Februari 2025) di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali. Cubaan merogol ke atas kanak-kanak perempuan di dalam kawasan masjid.
“Tolong sebarkan seluasnya supaya pelaku cepat ditangkap,” kata pengendali kumpulan WhatsApp terbabit secara ringkas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim mengesahkan perkara itu dan akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE