SEREMBAN – Sebuah kilang karpet di pusat perniagaan Nilai 3 di sini, musnah dalam kebakaran jam 7 pagi tadi menyebabkan asap tebal yang menjulang tinggi sehingga dapat dilihat di keseluruhan Nilai dan kawasan sekitar.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 7.49 pagi.
“Jentera dan anggota yang tiba di lokasi 10 minit kemudian mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang membuat karpet.
“Kilang itu mengalami kemusnahan struktur sehingga 100 peratus, dan tiada mangsa yang dilaporkan terlibat, “kata kenyataan itu.
Menurut PGO, tindakan pemadaman sedang giat dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, BBP Mantin dan BBP Seremban 2. – KOSMO! ONLINE