KUALA LUMPUR – Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar mendedahkan krisis tunggakan gaji pemain dan pegawai kini mencecah hampir 10 bulan.
Menurut Mohd. Daud, pihaknya berusaha untuk melunaskan sedikit pembayaran untuk meringankan beban pemain dan pegawai yang bertanding pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
“Seperti mana yang mungkin media semua tahu, ramai tahu kita masih lagi tertunggak hutang yang banyak, hampir mencecah 10 bulan.
“Untuk memberi sedikit ketenangan kepada pemain, kita cuba membuat (bayaran) secara ‘advance’ (pendahuluan).
“Bukan semua gaji (bukan bayar semua tunggakan), tapi sedikit bayaran untuk mereka teruskan kehidupan seperti mana yang paling minimum untuk mereka menanggung tanggungjawab di rumah.
“Dari segi gaji itu masih tertunggak lagi dan kita sedang membuat perancangan habis-habisan untuk cuba menyelesaikan bayaran tertunggak dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Dalam majlis pengumuman rakan strategik dan majlis pengisytiharan duta-duta KDA FC yang berlangsung di Kuala Lumpur sebentar tadi, pengurusan Sang Kenari telah melantik penyanyi terkenal, Mohd Hanifah Md Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Black antara duta baharu kelab.
Selain Black, beberapa lagi pempengaruh turut dilantik bagi bersama-sama membantu Sang Kenari menjana keuntungan dan menaikkan nilai kelab pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE