PETALING JAYA – Hubungan dengan bapa kandung masih keruh, pelakon Zara Zya enggan lagi mengulas kemelut dalaman yang pernah dibangkitkan melalui platform Threads tahun lalu.
Menurut Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 38, perkara tersebut sudah lama berlalu sekali gus dirasakan tidak perlu diungkit lagi.
“Saya enggan kupas isu ini dengan lebih lanjut sebab perkara terbabit pun sudah lama berlaku.
“Buat masa ini, saya tak mahu bercakap tentang hal berkenaan, Hubungan biasa-biasa sahaja, masih sama seperti dulu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pelakon drama Risik Pada Hati itu turut mengakui kenyataan dibuat sebelum ini mungkin dipengaruhi emosi apabila melihat orang lain menikmati kehidupan bersama keluarga yang lengkap.
“Mungkin pada ketika itu, emosi saya terganggu. Biasalah kan, bila tengok orang lain ada keluarga lengkap, begitu juga keluarga kawan-kawan saya.
“Dah beberapa kali raya, saya dan mama berdua sahaja sampai tak tahu nak pergi ke mana.
“Saya rasa kesihatan saya pada waktu itu turut memberi kesan kepada emosi, di mana saya memang memerlukan seorang ayah,” luahnya.
Zara juga tidak menyangka luahan peribadinya melalui media sosial itu menarik perhatian ramai hingga menjadi bahan bualan.
“Saya pula ingatkan tak ramai yang akan perasan, tapi saya lupa yang saya adalah seorang selebriti.
“Saya berkongsi sebab pada waktu itu saya kesunyian. Namun, saya tak sangka mendapat perhatian ramai,” tambahnya.
Terdahulu, Zara mendedahkan hubungan bersama bapanya tidak begitu baik malah dia mendakwa bapanya tergamak melemparkan kata-kata hinaan terhadapnya melalui beberapa akaun palsu dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE