PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) melihat Piala Dunia 2025 di Bihar, India bulan depan sebagai medan penting bagi mengasah keupayaan skuad negara sebelum menghadapi tiga kejohanan utama tahun ini.
Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, fokus utama adalah membentuk skuad terbaik menghadapi Piala Asia pada Mei nanti diikuti, Piala Raja Thai (Julai) dan Sukan SEA Thailand 2025 (Disember).
Menurut Sumali, penyertaan kategori quadrant dan double di India adalah sebahagian daripada strategi bagi menguji kekuatan pemain sebelum mengalihkan tumpuan kepada Piala Asia 2025 yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 10 hingga 18 Mei depan.
“Di Bihar nanti, pasukan negara akan bersaing dalam kategori quadrant dan double. Thailand juga akan mengambil bahagian dalam kedua-dua kategori ini.
“Fokus utama kami adalah membentuk skuad yang mantap dalam kedua-dua kategori tersebut. Saya anggap Piala Dunia di India ini sebagai ujian penting sebelum melangkah ke Piala Asia,” katanya.
Sumali turut menjelaskan dalam kategori double, cabaran utama adalah mempertahankan gelaran juara dunia dimenangi di Kuala Lumpur sebelum ini.
“Semua pihak mahu melihat kita mampu mempertahankan kejuaraan dunia kategori double. Ketika ini, latihan berjalan lancar dan kami telah melakukan beberapa penambahbaikan untuk meningkatkan prestasi pasukan.
“Keserasian antara pemain masih dalam proses pemantapan. Kami bertekad mempertahankan kejuaraan double dan saya harap skuad quadrant menampilkan aksi luar biasa,” jelasnya.
PSM dijangka mengumumkan senarai pemain tidak lama lagi memandangkan tarikh tutup pendaftaran ditetapkan penghujung bulan ini.