GOMBAK – Demi mengelak pemeriksaan pihak berkuasa, beberapa pemandu kenderaan berat dilihat bersidai di tepi jalan dan sekitar stesen minyak berdekatan setelah mendapat maklumat mengenai operasi pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di beberapa lokasi di sini.
Tinjauan Kosmo! sepanjang laluan Plaza Tol Gombak ke Stesen Penguatkuasa JPJ di sini mendapati, beberapa kenderaan berat termasuklah lori dan treler yang dipercayai membawa muatan berlebihan sengaja berhenti di bahu jalan lebuh raya dan stesen minyak, dipercayai menunggu operasi JPJ tamat sebelum meneruskan perjalanan.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, situasi tersebut adalah antara taktik yang digunakan para pemandu untuk mengelak kenderaan mereka ditahan dan diperiksa pihak berkuasa.
“Kita tak boleh tahan mereka jika statik (kenderaan tak bergerak), jadi kami (JPJ) akan hantar pasukan untuk menghalau mereka daripada kawasan menunggu tersebut kerana boleh jadi menghalang lalu lintas.
“Jadi selepas mereka sudah bergerak dari kawasan tersebut, kita akan tahan mereka dan bawa ke stesen timbang,” katanya pada sidang akhbar Operasi Khas Gempur Teknikal Siri 1/2025 JPJ di sini, hari ini.
Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berlangsung selama 14 hari bermula 15 hingga 28 Februari 2025.
Hamidi berkata, langkah ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengekang kesalahan teknikal yang boleh mengundang risiko kemalangan.
Mengulas mengenai hasil operasi pihaknya bermula pukul 7 pagi tadi, sebanyak 315 kenderaan telah diperiksa dan 41 darinya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.
“Setakat pukul 4 petang tadi, lima kenderaan telah disita atas kesalahan pelbagai, namun keunikannya adalah ia (kenderaan) dipandu oleh warga asing tanpa lesen
“Hari ini sebanyak 119 kesalahan dikesan dan lebih muatan direkodkan paling banyak iaitu 56 kes, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) (12 kes), tiada lesen vokasional (10 kes), kesalahan teknikal (6 kes) dan selebihnya lain-lain kes,” katanya.
Tambahnya, ujian saringan air kencing yang dilaksanakan AADK telah mengesan tiga pemandu bas pelancong positif dadah, manakala MOTAC satu kesalahan. – KOSMO! ONLINE