KUANTAN – Seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemui di tepi Sungai Kuantan disambung reman selama tujuh hari lagi.
Sebelum ini suspek yang berusia 53 tahun itu direman selama tujuh hari sehingga hari ini selepas ditahan di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembusu Gong Badak, Kuala Terengganu di Terengganu pada 15 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, reman terhadap suspek disambung sehingga 28 Februari depan bagi membantu siasatan.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan mangsa, Norshamira Zainal,37, yang menjalankan urus niaga hantaran (COD) makanan dipercayai dipukul dengan objek keras ketika menghantar makanan kepada suspek pada 12 Februari lalu.
Mayat mangsa kemudiannya ditemukan oleh sekumpulan lelaki termasuk suami mangsa yang melakukan pencarian pada keesokan harinya sebelum laporan polis dibuat.
Berdasarkan siasatan awal polis mendapati motif kejadian adalah samun berdasarkan barang kemas termasuk gelang emas bernilai RM30,000 dipakai mangsa yang hilang dan ditemui digadai di Kuala Terengganu. – KOSMO! ONLINE