SEREMBAN – Kebakaran sebuah kilang permaidani di tepi jalan utama ke Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini, pagi tadi dilaporkan mengalami kerugian mencecah kira-kira RM30 juta.
Menurut pemilik yang juga Pengarah syarikat, J. Rajesh 52, dia dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran itu daripada pengawal keselamatan yang berada di situ.
“Saya belum lagi sampai ke kilang dan difahamkan sebelum kejadian, pengawal telah membuka suis utama namun dipercayai berlaku sesuatu yang aneh sebelum dia nampak kepulan asap dan seterusnya menyebabkan semua permaidani termasuk barangan kelengkapan rumah di dalam kilang hangus terbakar.
“Kejadian itu berlaku kira-kira 7. 49 pagi dan menyebabkan keseluruhan bangunan kilang permaidani yang beroperasi sejak lapan tahun itu hangus,” katanya ketika ditemui dilokasi kejadian di sini, hari ini.
Menurutnya, dia menarik nafas lega kerana kejadian kali pertama yang berlaku ini tidak melibatkan nyawa pekerjanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, Nor Arifin Kamari berkata pihaknya menjangkakan dalam masa tiga hingga enam jam pemadaman api akan pulih sepenuhnya memandangkan bahan yang menyebabkan kebakaran (fire loaded) dalam kilang tersebut adalah sangat banyak.
“Terdapat beberapa risiko bahaya masih dikesan seperti runtuhan stuktur serta arus elektrik untuk pihaknya membuat penilaian dan kami tunggu sehingga api dapat dikawal,” katanya. – KOSMO! ONLINE