PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill menyeru pelumba muda negara membuktikan kemampuan mereka pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 yang membuka tirai hari ini.
Skuad berbasikal trek negara sering dibayangi nama besar seperti Datuk Azizulhasni Awang, namun pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo tersebut tidak menyertai ACC 2025.
Justeru, Amarjit berharap generasi baharu memanfaatkan platform ACC 2025 di Velodrom Nasional, Nilai untuk membina nama selain membuktikan mereka mampu bersaing dengan pelumba handalan dunia.
“Azizul telah memberikan segala-galanya kepada negara. Sudah tentu kami gembira sekiranya Azizul mengambil bahagian, tetapi harapan kami untuk melihat atlet-atlet baru menunjukkan bakat mereka.
“Kami harus menyokong atlet baru untuk menunjukkan potensi mereka. Saya sangat yakin dengan persiapan telah dibuat oleh pasukan, pelumba negara akan menunjukkan satu persembahan yang cukup baik,” katanya.
Biarpun tanpa penyertaan Azizulhasni, skuad negara masih meletakkan sasaran tiga pingat di ACC 2025 yang berlangsung sehingga 27 Februari ini.
Tiga pingat tersebut dijangka hadir menerusi bintang berbasikal muda, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri dalam acara keirin wanita selain pecut berpasukan lelaki dan wanita.
Pada edisi tahun lalu di New Delhi, India, skuad negara menampilkan aksi cukup baik apabila membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan tiga gangsa.