fbpx

Nelayan geleng kepala harga ikan kembung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kebanyakan nelayan ikan kembung Kuala Muda tidak turun ke laut disebabkan harga ikan yang ditawarkan peraih terlalu murah.

SUNGAI PETANI – Lambakan hasil tangkapan ikan kembung bersaiz kecil di Pasar Bisik Kuala Muda, di sini menyebabkan harga borong bagi hasil laut tersebut turun mendadak sehingga mencecah 70 sen sekilogram sejak kelmarin.

Penurunan harga ikan secara mendadak itu menyebabkan nelayan di sini geleng kepala apabila pendapatan harian mereka ­turut merosot sehingga 50 peratus.

Tinjauan di Pasar Bisik Kuala Muda, dekat sini semalam mendapati, sebahagian nelayan ikan kembung tidak turun ke laut ­kerana merasakan pendapatan yang diterima tidak berbaloi dengan keringat dan kos operasi yang terpaksa ditanggung.

Seorang nelayan, Zulkarnain Abd Hamid, 39, berkata, trend penurunan harga ikan kembung itu dikatakan sudah berlaku sejak seminggu lalu menyebabkan dia terpaksa mengambil keputusan tidak turun ke laut semalam.

Katanya, hasil tangkapan ikan yang terlalu banyak sehingga mencecah dua tan dan saiz ikan yang kecil iaitu sebesar dua jari itu menyebabkan harga jualan kepada peraih atau orang tengah pada harga serendah RM2 hingga RM3 sekilogram, berbanding kebiasaan harga RM4 hingga RM5 sekilogram.

“Kalau ikan yang kecil sangat (untuk buat baja) baru kami jual dengan harga 70 sen. Sebelum ini ikan kecil juga tapi kami dapat jual dengan harga RM1.50.

“Justeru itu, saya buat keputusan untuk tidak turun ke laut mungkin hingga Sabtu ini berikutan pendapatan yang diterima tidak berbaloi dengan kos operasi terpaksa ditanggung,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi nelayan, Mohd. Sukhri Abu Bakar, 44, berkata, lambakan ikan kembung bersaiz kecil menyebabkan peraih berani bermain harga dan menawarkan harga ikan yang sangat rendah.

“Alasan mereka permintaan untuk ikan kembung sekarang dah kurang saiz ikan pula kecil jadi mereka tak boleh bayar nelayan dengan harga tinggi.

“Situasi ini jika dibiarkan menyebabkan pendapatan kami te­rus merosot terutama menje­lang Ramadan berikutan permintaan semakin berkurangan,” ujarnya.

Sementara itu, pengunjung Pasar Bisik, Halimah Md. Desa, 44, melahirkan rasa kecewa apabila tidak berpeluang membeli ikan dengan harga murah untuk membuat kuah laksa.

“Ikan kembung tak banyak macam semalam, saya hanya beli sekilo sahaja dengan harga RM10,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI