SEBERANG PERAI – “Doktor maklum anak saya meninggal dunia kerana tercekik coklat (gummy eye ball).”
Demikian menurut Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, bapa kepada kanak-kanak 10 tahun, Mohamad Fahmi Hafiz, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, kira-kira pukul 11 malam semalam.
Menurutnya, komplikasi tersedak dan pneumonia (hipoksia iskemia ensefalopati) tertera di sijil kematian anak sulungnya itu.
Bagaimanapun, dia yang merupakan bapa kepada dua anak itu tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menjual makanan ringan tersebut.
“Saya cuma berharap kejadian seumpama ini tidak menimpa kanak-kanak lain dan kami tidak salahkan sesiapa pun kerana takdir ini sudah tertulis buat kami sekeluarga.
“Ikutkan hati saya tidak mahu membuat laporan polis pun, namun perlu akur memandangkan kejadian berlaku dalam kawasan sekolah sekali gus membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Binjai, Penaga di sini hari ini.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Mohamad Fahmi Hafiz selamat dikebumikan pada pukul 3.20 petang tadi.
Sementara itu, nenek mangsa, Siti Amin Ismail,61, pula berkata, arwah seorang anak yang manja dan rajin ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak sebelum belajar mengaji di rumahnya di Kampung Permatang Binjai.
“Isnin lepas, arwah amat manja malah meminta ‘baba’ (ayah) menyuapnya nasi. Kami sekeluarga reda dengan ujian Allah SWT,” katanya. -KOSMO! ONLINE